Make your own free website on Tripod.com

FESYEN & KECANTIKAN

 

Barangan Kemas Pengantin

        Wanita mana yang tidak sukakan barangan kemas, apatah lagi jika dihadiahkan pada hari perkahwinan. Aneka perhiasan menjadi idaman namun yang kerap menjadi pujaan ialah cincin bertatah berlian lantas ia melambangkan simbol ikatan kasih yang lebih romantik dan klasik.

        Jika anda telah memutuskan untuk menghadiahkan si dia sebentuk cincin berlian, anda bolehlah mengintai-intai ke kedai permata untuk mencari yang sesuai. Sebelum itu, tentukan kos yang termampu kerana cincin bertatah berlian yang bermutu tinggi walaupun kecil, harganya kadangkala memeranjatkan.

        Anda boleh memilih daripada pelbagai bentuk berlian seperti bulat gemerlapan, zamrud, empat segi, bujur telur, bentuk pir dan macam-macam lagi. Cincin bertatah sebutir berlian bulat gemerlapan kerap kali menjadi pilihan paling anggun. Namun ada juga yang berkenankan cincin bertatah berbilang berlian. Walau apa jua keputusan anda, adalah lebih baik membawa si dia bersama ketika membuat pilihan.

        Anda perlu berwaspada ketika memilih berlian kerana di pasaran ketika ini, terdapat pelbagai jenis batu berlian. Biasanya yang mahal ialah berlian tulen. Manakala berlian-berlian tiruan seperti zirkon, berlian amerika atau berlian russia lebih rendah harga dan mutunya. Anda juga dinasihatkan agar memahami faktor 4C yang menentukan nilai sebenar berlian. 4C ialah berat berlian dalam kiraan karat, potongan, kejernihan dan warna. Berlian yang paling baik ialah berlian yang lebih berat, dipotong dalam segi-segi yang dapat membiaskan cahaya pelangi dengan sempurna, jernih sejernihnya tanpa sedikit pun tanda-tanda dan tiada warna. Anda boleh melihat semua ini dengan bantuan kanta pembesar di kedai barangan kemas.

        Sebelum anda memutuskan untuk membeli berlian, anda juga perlu memahami bahawa nilainya akan susut apabila anda bercadang menjual semula. Susut nilai berlian biasa berlaku terutama bagi berlian-berlian tiruan yang kadangkala tidak mengikut faktor 4C. Namun anda masih ada pilihan. Anda boleh membeli perhiasan emas semata-mata seperti rantai, gelang, rantai tangan dan sebagainya. Harga emas diniagakan di pasaran antarabangsa dan ia biasanya turun naik. Emas juga mempunyai pelbagai kelas seperti emas sepuluh atau emas tulen 999.9, emas singapura 916, emas paun, emas putih atau platinum dan banyak lagi. Pastikan anda melihat nombor emas di belakangnya.

        Bagi pengantin perempuan pula, jika berhajat anda boleh juga menghadiahkan pengantin lelaki dengan cincin suasa atau tembaga bertatah batu delima, akek, jade, lapis lazuli dan macam-macam lagi. Ia boleh dibeli mahupun ditempah. Tetapi pemberian barangan kemas untuk pengantin lelaki jarang diamalkan kerana ia hanya berfungsi untuk memeriahkan majlis manakala adat memberi barangan kemas untuk pengantin perempuan telah sebati dengan masyarakat sebagai kaedah membatalkan air sembahyang selepas akad nikah. Perlu diingat, kesemua ini semata-mata adat dan tiada kena mengena dengan agama.

 

Kasut Pelengkap Gaya

        Apabila menyentuh tentang perkahwinan, perkara paling utama yang terlintas di fikiran pengantin dan sesiapa pun pasti berkaitan dengan pakaian pengantin. Namun perlu juga diingat, memakai pakaian indah ditambah solekan menarik siap hiasan kepala menawan tidak akan cukup sempurna jika perkara lain tidak diambil kira terutamanya kasut untuk dipakai kala majlis pernikahan mahupun bersanding.

        Terlupa tentang kasut di hari bahagia? Memanglah anda telah melakukan satu kesilapan besar. Sebagai raja sehari anda menjadi tumpuan lirikan manja tetamu daripada hiasan kepala hinggalah ke kaki bahkan pemerhatian akan menjalar pula kepada hantaran dan apa jua yang berkaitan dengan pengantin. Jadi anda seharusnya tidak melupakan tentang kasutpengantin meskipun ianya hanya sesuatu yang kecil di hujung kaki yang kadang kala tersembunyi di belakang kain pengantin.

        Elakkan daripada membeli kasut di saat-saat akhir kerana ia mungkin memburukkan keadaan. Dalam keadaan tergesa-gesa pastinya sukar untuk mendapatkan yang terbaik. Akibatnya kasut yang dipilih akan menjadi seperti tangkap muat sahaja asalkan pengantin tidak berkaki ayam.

Panduan Kasut Perkahwinan

  1. Tentukan belanja yang diperuntukkan untuk membeli kasut pengantin. Peruntukan memainkan peranan yang besar dalam menentukan jenis kasut pengantin anda. Jika peruntukannya agak tinggi, anda bolehlah menempah khas tetapi kalau terhad, ada banyak kedai kasut yang menjual kasut yang sesuai pada harga yang berpatutan.

  2. Utamakan keselesaan kerana pengantin tidak seharusnya berjalan terjengket-jengket, lebih lebih lagi jika majlis diadakan di dewan atau hotel. Untuk mengelakkan kaki melecet, eloklah kasut itu dicuba pakai semasa di rumah supaya ianya lebih serasi. Ataupun, pakailah losyen untuk melicinkan bahagian tumit kaki.

  3. Pentingkan seri atau keanggunan kasut tersebut. Ianya mestilah cantik dan menimbulkan rasa puas terhadap sesiapa yang memandangnya.

  4. Ketinggian kasut juga harus diambil kira kerana ia mestilah sesuai dengan ketinggian pasangan. Tentu tidak padan jika pengantin perempuan yang tinggi lampai mengenakan kasut bertumit tinggi sehingga melebihi ketinggian pengantin lelaki.

  5. Seelok-eloknya kasut pengantin sepadan dengan fabrik baju pengantin. Setengah pereka fesyen yang menjahit pakian pengantin akan menggunakan cebisan fabrik pakaian sebagai hiasan kasut. Ini akan menimbulkan keseragaman ke atas keseluruhan penampilan pengantin. Jika baju pengantin itu disewa, mungkin pengantin boleh memilih kasut berwarna emas atau perak, bergantung kepada warna baju pengantin.

  6. Pilih rekaan kasut yang bersesuaian dengan bentuk kaki anda. Bukan semua orang sesuai memakai kasut yang terbuka. Lebih selamat dan untuk menutup parut-parut yang mungkin ada di bahagian kaki terutama di bahagian jari-jemari, pilihlah kasut yang tertutup.

 

Panduan Mencari Baju Kahwin Idaman

       Tugas praperkahwinan yang tidak sabar dinantikan oleh bakal pengantin perempuan ialah memilih baju kahwin. Barangkali sesetengah telah membayang baju kahwin yang akan mereka gayakan sebaik sahaja si buah hati melamar. Cuma kemungkinan dek kerana dilambung ghairah, anda tidak mempertimbangkan samada khayalan itu praktikal atau tidak?

        Jika anda tidak tahu di mana hendak bermula, dapatkan timbunan ilham daripada panduan yang kami kumpulkan sebagai panduan bagi memastikan saat bahagia dilalui dengan simbahan keseronokan, penuh riang dan gembira.

  1. Kumpulkan majalah perkahwinan yang menyorot isu perkahwinan untuk menimbulkan ilham dan mencari aliran potongan semasa yang sesuai serta jangan lupa senaraikan harga-harganya.

  2. Kini banyak majalah mengeluarkan senarai pakej perkahwinan dari segi pakaian, dandanan dan hotel. Jangan hanya melakukan urusan melaui telefon dan membuat keputusan sebelum temu janji. Dicadangkan anda luangkan masa beberapa hari berjalan-jalan di pusat membeli belah, masuk kedai-kedai yang berkaitan, melihat-lihat dan bertanya lebih lanjut.

  3. Jangan lupa mengacukan sebanyak mungkin potongan yang ada. Kebanyakan baju kahwin tidak nampak cantik di gantungan tetapi apabila dipakai cantik. Ketika mengacu jangan lupa lihat sisi dan belakang.

  4. Melalui cara di atas anda dapat mengagak anggaran peruntukan yang anda mampu. Pastikan anda buat anggaran setepat mungkin dan tentukan anda mengikut anggaran yang ditentukan.

  5. Berikan waktu yang panjang sebelum memutuskan potongan baju kahwin. Adalah bijak bermula dengan potongan asas, sama ada anda suka kurung Johor, kebaya longgar atau kurung moden. Dan sekiranya anda bercadang memilih gaun, anda suka potongan tradisional, lurus, keruk 'empire' atau keruk 'princess'?

  6. Kemudian tanyakan diri sama ada mahukan tathan labuci, manik atau sulaman?

  7. Justeru itu, jangan tempah di saat-saat akhir. Kebanyakan kedai mengharapkan tempahan dilakukan tiga empat bulan sebelum hari perkahwinan.

  1. Fikirkan samada anda mahu perkahwinan anda bertema. Misalnya konsep, warna, kain & gaya. Langkah ini secara tidak langsung akan memudahkan anda membuat pilihan pakaian.

  2. Apapun pilihan anda, pastikan ianya praktikal.

  3. Apabila anda menempah, anda ada dua pilihan. Sama ada menggunakan kain sendiri atau memilih kain di butik tempat menempah, kecuali anda menempah di kedai tukang jahit biasa.

  4. Kain baju kahwin tidak murah. Samada anda memilih renda Peranchis atau Swiss, sutera Itali atau China, organza atau organdy, tanyakan pada tukang jahit atau pereka anda berapa meter yang diperlukan untuk membuat baju anda.

  5. Jika peruntukan terhad, pertimbangkan menyewa baju kahwin. Jika tidak beli baju kahwin siap. Tetapi haruslah diingatkan bahawa baju kahwin siap tidaklah semurah mana dan kadang-kala tidaklah secantik mana.

  6. Sesetengah butik ada membuat baju yang dikhususkan untuk promosi. Baju ini digunakan untuk kegunaan peragaan dan penggambaran. Cuba tawar harganya.

  7. Dalam kegawatan ekonomi, banyak butik menawarkan pakej menarik . Dapatkan tawaran yang bagus.

  1. Jika anda tidak bercadang menyimpan baju kahwin anda (tak kira sama ada gaun, kurung atau kebaya) cuba tanya pereka atau butik anda sama ada mereka boleh tolong jualkannya sebagai pakaian terpakai selepas anda pakai. Jika tidak, anda boleh jualkan kepada kedai-kedai terpakai. Secara ini, ia boleh membantu kewangan anda. Tetapi pastikan baju anda dalam keadaan baik.

  2. Tonjolkan segala kelebihan anda, maksudnya paras rupa seperti ketinggian, pinggang ramping dan buah dad cantik. Pengantin tinggi tampak lampai dengan potongan langsing manakala pengantin yang rendah sepatutnya elakkan gaun kembang dan train, pilih perincian halus dan potongan lurus.

    Kalau anda memakai gaun, ketahuilah gaun bentuk V di pinggang membias tinggi. Sembunyikan lengan yang besar dengan berlengan panjang. Elakkan baju bercengkek bagi yang berpinggang tinggi.

  3. Sentiasa bawa seseorang (dua paling bagus) apabila anda pergi menempah dan mengacu baju kahwin. Dengan ditemani mereka, anda boleh mendengar komen dan mendengar pandangan mereka tatkala meyedang baju.

  4. Minta kerjasama pereka untuk mencuba bersama layah (veil) supaya anda dapat gambaran rupa keseluruhan baju kahwin anda. Umpamanya layah yang pendek mungkin boleh mengubah baju biasa kepada sesuatu yang biasa kepada sesuatu yang istimewa manakal layah labuh kemungkinan tidak sesuai.

  5. Pilih pakaian pengiring anda sepadan dengan perincian atau baju kahwin anda. Sekiranya anda mempunyai konsep atau tema, pastikan ianya selaras dengan pengiring anda.

  6. Fikirkan bentuk kasut. Baik bertumit tinggi atau rendah, ia akan memberi kesan berlainan kepada keseluruhan penampilan baju kahwin anda. Begitu juga warna dan jenis buatannya.

  7. Perlengkapkan gaya dengan perhiasan kemas. Subang, rantai, keronsang, butang baju kurung, gelang tangan dan gelang kaki boleh menaikkan seri penampilan. Bagaimanapuun ia akan menambah perbelanjaan. Sekiranya anda tidak mampu membeli, pertimbangkan meminjam daripada adik-beradik, saudara-mara ataupun teman rapat. Atau sewa daripada mak andam atau butik anda.

        Selepas selesai majlis perkahwinan, pastikan baju dihantar untuk cucian kering dan simpan ia dengan baik dalam kotak atau gantungkan ia di dalam sarung baju.

 

Pilihan Warna Pakaian Pengantin

        Masalah yang paling ketara apabila ingin memilih baju pengantin ialah warna yang harus dipilih dan kemudian jenis kain yang sesuai. Pelbagai faktor harus diambil kira seperti saiz badan pengantin, warna kulit pengantin serta pasangan serta kos yang diperuntukkan.

       Tambah memeningkan kepala jika seorang putih melepak dan seorang lagi gelap hitam manis. Bagi yang berkulit putih, apa sahaja warna sesuai dikenakan tetapi bagaimana pula dengan yang berkulit gelap?

        Warna-warna hitam, biru malam, ungu gelap, hijau gelap, merah hati dan seumpamanya adalah warna mewah. Kemewahan himpunan warna gelap ini amat berkesan jika dipadankan dengan warna kulit yang cerah kerana ciri yang berlawanan yang ada. Ia menimbulkan kesan dramatik! Jika berkulit gelap yang mengenakannya, ianya kurang menyerlah malah akan menenggelamkan seri si pemakai. Biasanya jika tiada unsur berlawanan, kesannya kurang menonjol.

        Pakaian pengantin yang berwarna terang pula bermakna warna-warna segar ceria sepertti putih susu, kuning air, ungu lembayung, oren cair, coklat cair dan seumpamanya. Jika yang berkulit gelap mengenakannya, ia akan menimbulkan kesan yang berlawanan yang menarik. Jikalau yang berkulit putih mengenakan warna-warna sebegini, ia akan menonjolkan gaya harmonis serta lembut.

        Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pengantin tidak seharusnya memilih hanya bergantung kepada warna kulit sahaja. Saiz badan si pemakai juga amat penting kerana pilihan warna boleh menyebabkan si pemakai kelihatan lebih besar ataupun supaya kelihatan lebih kurus. Warna terang seperti kuning atau merah jambu akan menyebabkan yang berbadan besar kelihatan lebih besar manakala warna gelap boleh memberi ilusi yang lebih langsing.

HOME