Make your own free website on Tripod.com

OLEK KEDUA

Istiadat Hambat Pelamin

        Setelah pengantin dibenarkan masuk, dia akan dipimpin oleh orang menjemput ke pelamin. Di pelamin telah sedia duduk pengantin perempuan (dan pengantin perempuan kecil di sebelahnya). Mak Andam pula yang ketika itu duduk di kerusi pengantin lelaki, apabila melihat ketibaan, pengantin akan menutup muka pengantin perempuan, kononnya tidak mahu kecantikan pengantin dilihat oleh mempelai lelaki. Perlakuaannya duduk di pelamin itu adalah untuk menghalang pengantin daripada bersanding, kononnya Mak Andam ‘cemburu’ dan ‘tidak sudi’ anak andamannya disandingkan dengan lelaki yang ‘tidak dikenalinya’. Upacara bersanding tidak dapat dijalankan selagi Mak Andam tidak bangun daripada pelamin. Dengan kata lain, istiadat bersanding di pelamin telah ‘terhambat’. Dalam suasana kecoh dan melucukan itu, pengantin lelaki akan berdiri di hadapan pengantin perempuan dengan memegang sirih alur dan bunga telur. Kedua-dua barang ini telah dibekalkan kepada pengantin lelaki sebelum dia masuk untuk bertanding. Sirih alur ialah sejumlah duit (bernilai antara RM70.00 dan RM100.00) yang dibungkus dengan daun sirih yang dilipat segi tiga. Di sesetengah tempat sirih alur itu diberi kerocok yang berkerawang tepinya. Duit yang ada dalam sirih alur itu adalah wang upah Mak Andam daripada pihak pengantin lelaki.

        Untuk melepaskan hambatan itu pengantin lelaki haruslah berusaha mencecahkan sirih alur itu ke dahi pengantin perempuan. Setelah terkena pada dahinya, sirih alur itu harus dilepaskan supaya ia terjatuh ke atas pangkuan pengantin perempuan. Apabila Mak Andam melihat kejadian ini dia akan bangun daripada tempat duduknya untuk mengambil sirih yang berada di atas pangkuan pangkuan pengantin. Kehadiran sirih alur di atas pangkuan pengantin itu telah ‘merosakkan’ keindahan acara pelamin, terutama sekali kecantikan anak andamannya; sedangkan tugas dan tanggungjawab utama Mak Andam adalah menjaga keindahan dan kecantikan pengantin dan pelamin.

 

Istiadat Makan Beradat

Ada dua cara bagaimana istiadat makan beradat atau jamuan pengantin pada petang kedua diadakan:

  1. Jamuan itu diadakan dalam bilik pengantin. Apabila hidangan telah sedia, orang menjemput akan mempersilakan pengantin lelaki dan pengapitnya masuk ke dalam. Di dalam bilik telah sedia menunggu pengantin perempuanm, Mak Andam dan pengapit pengantin perempuan.

  2. Jamuan itu diadakan di hujung serambi. Salah satu sebab jamuan tersebut diadakan di hujung serambi adalah kerana keadaan bilik pengantin sempit. Melalui cara ini pengantin perempuan, Mak Andam dan pengapitnya yang keluar ke hujung serambi untuk makan bersama suaminya.

        Semasa makan, kedua pengantin akan makan sehidangan, dan mereka akan didudukkan berdekatan. Mak Andam dan pengapit akan makan sedulang dengan pengantin. Pengantin perempuan akan diminta oleh Mak Andam supaya membasuhkan tangan suaminya. Selalunya, pengantin berasa ‘malu’  dan ‘segan’ untuk melakukannya, tetapi akan dipaksa oleh Mak Andam. Sepangjang masa makan ini kedua-dua pengantin akan sentiasa ‘diusik’ oleh Mak Andam dan pengapit dengan tujuan agar timbul kemesraan di antara mereka.

 

Istiadat Berinai Kecil

        Selepas waktu maghrib, pengantin lelaki dan pengiring-pengiringnya akan dibawa semula ke rumah pengantin perempuan oleh wakil pihak perempuan. Rombongan ini akan berhenti di pintu pagar rumah atau di suatu tempat tertentu untuk menunggu kedatangan pengantin perempuan. Setelah pengantin perempuan dan pengiringnya tiba, sekali lagi kedua-dua pengantin diarak ke rumah dengan tandu. Perarakan mempelai ini akan diiringi dengan paluan rebana dan dikir; dan berakhir dengan persandingan pengantin di atas pelamin, sama ada di halaman ataupun di atas rumah. Jika diadakan persandingan di halaman, maka suatu pertunjukan pencak silat pulut akan diadakan. Selepas tamat pertunjukan tersebut kedua-dua mempelai akan dipimpin naik ke atas rumah, dengan didahului oleh pengantin perempuan. Pengantin lelaki, yang naik kemudian sedikit akan ditempatkan di serambi menunggu pengantin perempuan bersedia untuk acara selanjutnya, iaitu bersanding di pelamin di atas rumah.

        Untuk menjalankan upacara berinai ini beberapa jenis alat kelengkapan perlu disediakan. Alat-alat kelengkapan tersebut adalah daun inai yang telah ditumbuk halus dan diadun, beras kunyit, air mawar, lilin dan bunga telur yang tercucuk pada nasi panco atau atau semerit atau nasi pahar. Kesemua peralatan ini melainkan bunga telur dan nasi panco mempunyai bekas-bekas khas yang terletak di hadapan pelamin.

sistem Adat | Nisab_Ibu| Konsep_Perkahwinan | Peraturan_Perkahwinan | Proses Pinangan | Persediaan_Perkahwinan | Olek_Pertama | Olek Kedua | Olek_Ketiga | Glosari