Make your own free website on Tripod.com

PERSEDIAAN PERKAHWINAN

 

Sila tekan pada menu pilihan untuk maklumat selanjutnya.

Persediaan Hari Langsung Istiadat Hambat Pelamin

Majlis Berinai Kecil

Istiadat Makan Beradat

Hari Masak-memasak

Istiadat Berinai Kecil

Istiadat Mengandam

Persiapan

Adat Istiadat Menjemput Pengantin Lelaki

Istiadat Perarakan Pengantin

 

Persediaan Hari Langsung.

        Apabila telah ditetapkan hari langsung, kedua-dua belah pihak haruslah membuat persediaan untuk menyambut hari berkenaan. Persediaan adalah perlu kerana dalam masyarakat adat perpatih Negeri Sembilan, institusi perkahwinan adalah suatu upacara peralihan yang diiringi dengan berbagai-bagai istiadat yang kompleks lagi unik. Selain daripada mempunyai atur cara yang penuh disiplin tetapi menggembirakan, istiadat ini juga berbentuk arena rupa sesuai untuk menjiwai suasana kata adat yang berbunyi:             

adat dijunjung,
istiadat dikelek.

        Justeru itu, demi menjaga maruah kemurnian dan mengelakkan daripada berlakunya kesilapan sehingga mendatangkan malu dan dikatakan sebagai 'tidak tahu adat' terhadap keluarga berkenaan, beberapa peringkat tertentu harus diikuti dan dipatuhi, terutama sekali apabila hari langsung atau hari perkahwinan itu semakin hampir.   -atas-              

 

Majlis Berinai Kecil.

        Berinai kecil adalah upacara yang diadakan oleh pihak pengantin perempuan sahaja. Ia dijalankan dua hari sebelum hari akad nikah. Pada malam berkenaan pengantin perempuan akan diinaikan. Saudara mara dan rakan rapat pengantin juga turut sama sebagai menemankan pengantin.

Untuk majlis ini bahan-bahan yang digunakan adalah seperti berikut:

  • Daun inai tua yang telah dipilih
  • Nasi untuk melekatkan inai pada kuku dan jari
  • Perahan air limau nipis atau limau kasturi supaya inai itu cepat menyerap dan menghasilkan warna kuning kemerahan
  • Gambir supaya inai itu lebih cerah warnanya. Daun inai juga dibuang urat-uratnya dan dicampur dengan bahan-bahan lain yang disebutkan. Campuran itu kemudiannya ditumbuk atau digiling sehingga lumat. Selepas itu barulah inai dipakai pada jari.

        Pemakaian inai ini dimulakan dengan tangan kanan dan mendahulukan ibu jari. Selepas itu barulah dinaikkan anak-anak jari yang lain. Cara yang sama dilakukan untuk tangan kiri, diikuti dengan jari kaki kanan dan akhirnya kaki kiri. Urutan seperti ini adalah melambangkan bahawa ibu atau orang tua (ibu jari) adalah lebih diutamakan.       -atas-

 

Hari Masak-memasak

        Pada hari terakhir menjelang malam akad nikah ini kerja masak-memasak telah bermula. Pada hari ini hanya ayam dan kambing sahaja disembelih. Masak-memasak hanya diutamakan untuk menjamu para tetamu yang datang pada tengah hari dan malam tersebut.

        Jamuan tengah hari hanya untuk Buapak, Besar, anak buah dan orang pangkal yang lainnya. Mereka terdiri daripada orang-orang yang terlibat dalam membuat persiapan terakhir. Tugas masak-memasak ini akan dijalankan secara kerjasama antara lelaki dan perempuan dan terdapat pembahagian kerja yang teratur. Petugas-petugas ini akan menjalankan kerja masing-masing sehinggalah keseluruhan majlis  itu selesai.

        Jamuan makan untuk Buapak dan Besar pada tengah hari itu haruslah mengikut cara adat. Dulang hidangan mestilah ditutup dengan tudung saji. Tudung saji mesti dilapik dengan kain yang bertekad emas di tepinya.-atas-

 

Istiadat Mengandam.

        Pada hari akhir sebelum majlis akad nikah akan diadakan juga istiadat mengandam. Mengandam hanya dilakukan ke atas pengantin perempuan sahaja oleh Mak Andam untuk tujuan-tujuan tertentu.

        Mak Andam merupakan orang yang bertanggungjawab untuk menyerikan wajah melalui andaman dan solekan serta menguruskan sepenuhnya perihal pengantin perempuan sepanjang hari perkahwinan. Tujuan pengantin perempuan diandam adalah untuk menaikkan seri wajah pengantin. Di samping itu, istiadat ini merupakan satu cara bagi Mak Andam untuk mengetahui kesucian perempuan.

        Cara mengandam ini berbeza antara seseorang Mak Andam dengan Mak Andam yang lain. Dalam melakukan andaman, Mak Andam menggunakan banyak petua, di samping menggunakan alat-alat dan bahan-bahan tertentu iaitu:

-   Pisau cukur untuk mencukur anak rambut dan kening pengantin
-   Kain putih sepanjang dua meter untuk menadah anak rambut yang dicukur
-   Tepung tawar atau campuran bedak sejuk dan air
-   Daun sepulih dan daun hati-hati sebagai alat untuk menepung tawar pengantin
-  Kemenyan dan tempat berasap. Asap kemenyan akan diusapkan ke muka dan badan untuk menaikkan seri pengantin

-  Tepur ayam muda yang telah dijampi oleh Mak Andam untuk diminum oleh     pengantin

-    Duit sebanyak RM 1.45 sebagai duit pengeras untuk Mak Andam

r.            Semasa mengandam ini juga Mak Andam akan memberi nasihat tentang tugas-tugas dan peranan serta tangunggjawab sebagai seorang isteri atau ibu kepada anak-anak. Upah juga diberi kepada Mak Andam. Jumlah yang diberi adalah mengikut budi bicara atas rundingan antara Mak Andam dan pihak pengantin. -atas-

 

Adat Istiadat Menjemput Pengantin Lelaki.

        Di rumah pengantin perempuan, persediaan untuk mengundang pengantin lelaki akan bermula. Buapak akan memperkenalkan orang menjemput itu kepada Datuk Lembaga. Selepas bersalaman, Buapak dengan dicelahi oleh Datuk Lembaga akan menerangkan tugas dan tanggungjawab mereka iaitu:

  1. Menjemput pengantin lelaki.
  2. Menjemput pusaka pengantin lelaki (jika ada).
  3. Menjemput gelaran pengantin lelaki.
  4. Menjemput mas kahwin.
  5. Menjemput adat.
  6. Mengingatkan bahawa mereka juga harus menjemput kesemua yang hadir dalam majlis pihak lelaki untuk datang bersama mengiringi pengantin lelaki ke majlis pengantin perempuan.
  7. Menjaga maruah pihak keluarga pengantin perempuan.

        Selepas itu, tepak sirih diserahkan kepada wakil berkenaan. Tepak sirih penting dibawa kerana ia merupakan pemecah kata adat dan melambangkan serta mewakili keseluruhan ahli kelompok kekeluargaan yang menjemput. Tepak sirih itu akan disambut oleh orang menjemput dan dengan itu mereka akan bersalaman dengan Datuk Lembaga, Buapak dan ketua-ketua lain, serta memohon izin meninggalkan majlis dan untuk menyempurnakan tugas.

        Upacara berikutnya adalah majlis membaca doa selamat. Ini diikuti dengan jamuan makan. Selepas makan, pengantin lelaki akan berarak ke rumah pengantin perempuan. Pengantin diiringi oleh pengapitnya serta orang menjemput akan berarak menuju ke rumah perempuan. Pengantin akan dipayungi dengan payung pengantin, yakni payung yang diberi sulaman bunga benang emas. Lazimnya, pengantin akan diarak dengan paluan dikir rebana dan saudara-mara yang ikut mengiringi pengantin akan berjalan di belakang pengantin.

        Di Luak Rembau, pengantin lelaki juga akan didampingi oleh pengantin kecil. Pengantin kecil adalah seorang kanak-kanak lelaki berumur antara lapan hingga sepuluh tahun. Kanak-kanak tersebut mestilah cerdik dan faham tentang perjalanan ke rumah dan keadaan dalam rumah pengantin perempuan. Kanak-kanak ini akan diberi pakaian lengkap seperti seorang pengantin. Dia akan dimuliakan, diraikan dan diberi keistimewaan sama seperti pengantin sebenar. -atas-

 

Istiadat Hambat Pelamin

        Setelah pengantin dibenarkan masuk, dia akan dipimpin oleh orang menjemput ke pelamin. Di pelamin telah sedia duduk pengantin perempuan (dan pengantin perempuan kecil di sebelahnya). Mak Andam pula yang ketika itu duduk di kerusi pengantin lelaki, apabila melihat ketibaan, pengantin akan menutup muka pengantin perempuan, kononnya tidak mahu kecantikan pengantin dilihat oleh mempelai lelaki. Perlakuaannya duduk di pelamin itu adalah untuk menghalang pengantin daripada bersanding, kononnya Mak Andam ‘cemburu’ dan ‘tidak sudi’ anak andamannya disandingkan dengan lelaki yang ‘tidak dikenalinya’. Upacara bersanding tidak dapat dijalankan selagi Mak Andam tidak bangun daripada pelamin. Dengan kata lain, istiadat bersanding di pelamin telah ‘terhambat’. Dalam suasana kecoh dan melucukan itu, pengantin lelaki akan berdiri di hadapan pengantin perempuan dengan memegang sirih alur dan bunga telur. Kedua-dua barang ini telah dibekalkan kepada pengantin lelaki sebelum dia masuk untuk bertanding. Sirih alur ialah sejumlah duit (bernilai antara RM70.00 dan RM100.00) yang dibungkus dengan daun sirih yang dilipat segi tiga. Di sesetengah tempat sirih alur itu diberi kerocok yang berkerawang tepinya. Duit yang ada dalam sirih alur itu adalah wang upah Mak Andam daripada pihak pengantin lelaki.

        Untuk melepaskan hambatan itu pengantin lelaki haruslah berusaha mencecahkan sirih alur itu ke dahi pengantin perempuan. Setelah terkena pada dahinya, sirih alur itu harus dilepaskan supaya ia terjatuh ke atas pangkuan pengantin perempuan. Apabila Mak Andam melihat kejadian ini dia akan bangun daripada tempat duduknya untuk mengambil sirih yang berada di atas pangkuan pangkuan pengantin. Kehadiran sirih alur di atas pangkuan pengantin itu telah ‘merosakkan’ keindahan acara pelamin, terutama sekali kecantikan anak andamannya; sedangkan tugas dan tanggungjawab utama Mak Andam adalah menjaga keindahan dan kecantikan pengantin dan pelamin. -atas-

 

Istiadat Makan Beradat

Ada dua cara bagaimana istiadat makan beradat atau jamuan pengantin pada petang kedua diadakan:

  1. Jamuan itu diadakan dalam bilik pengantin. Apabila hidangan telah sedia, orang menjemput akan mempersilakan pengantin lelaki dan pengapitnya masuk ke dalam. Di dalam bilik telah sedia menunggu pengantin perempuan, Mak Andam dan pengapit pengantin perempuan.

  2. Jamuan itu diadakan di hujung serambi. Salah satu sebab jamuan tersebut diadakan di hujung serambi adalah kerana keadaan bilik pengantin sempit. Melalui cara ini pengantin perempuan, Mak Andam dan pengapitnya yang keluar ke hujung serambi untuk makan bersama suaminya.

        Semasa makan, kedua pengantin akan makan sehidangan, dan mereka akan didudukkan berdekatan. Mak Andam dan pengapit akan makan sedulang dengan pengantin. Pengantin perempuan akan diminta oleh Mak Andam supaya membasuhkan tangan suaminya. Selalunya, pengantin berasa ‘malu’  dan ‘segan’ untuk melakukannya, tetapi akan dipaksa oleh Mak Andam. Sepangjang masa makan ini kedua-dua pengantin akan sentiasa ‘diusik’ oleh Mak Andam dan pengapit dengan tujuan agar timbul kemesraan di antara mereka. -atas-

 

Istiadat Berinai Kecil

        Selepas waktu maghrib, pengantin lelaki dan pengiring-pengiringnya akan dibawa semula ke rumah pengantin perempuan oleh wakil pihak perempuan. Rombongan ini akan berhenti di pintu pagar rumah atau di suatu tempat tertentu untuk menunggu kedatangan pengantin perempuan. Setelah pengantin perempuan dan pengiringnya tiba, sekali lagi kedua-dua pengantin diarak ke rumah dengan tandu. Perarakan mempelai ini akan diiringi dengan paluan rebana dan dikir; dan berakhir dengan persandingan pengantin di atas pelamin, sama ada di halaman ataupun di atas rumah. Jika diadakan persandingan di halaman, maka suatu pertunjukan pencak silat pulut akan diadakan. Selepas tamat pertunjukan tersebut kedua-dua mempelai akan dipimpin naik ke atas rumah, dengan didahului oleh pengantin perempuan. Pengantin lelaki, yang naik kemudian sedikit akan ditempatkan di serambi menunggu pengantin perempuan bersedia untuk acara selanjutnya, iaitu bersanding di pelamin di atas rumah.

        Untuk menjalankan upacara berinai ini beberapa jenis alat kelengkapan perlu disediakan. Alat-alat kelengkapan tersebut adalah daun inai yang telah ditumbuk halus dan diadun, beras kunyit, air mawar, lilin dan bunga telur yang tercucuk pada nasi panco atau atau semerit atau nasi pahar. Kesemua peralatan ini melainkan bunga telur dan nasi panco mempunyai bekas-bekas khas yang terletak di hadapan pelamin. -atas-

 

Persiapan.

        Persiapan seperti masak-memasak, menyediakan peralatan dan sebagainya dilakukan pada awal pagi. Pengantin lelaki serta rombongannya akan sampai ke rumah pengantin perempuan lebih kurang pada waktu zuhur atau lebih awal. Upacara berarak atau menyongsong pengantin dilakukan. Selepas mengelilingi rumah, kedua-dua pengantin akan terus naik ke rumah. -atas-

 

Istiadat Perarakan Pengantin.

        Kedatangan pengantin lelaki dan rombongannya tidak perlu dijemput lagi. Mereka akan datang secara sendirian. Apa yang harus diambil perhatian di sini ialah orang menjemput sentiasa berada sama dengan pengantin lelaki. Pengantin dan rombongan tidak boleh ditinggalkan bersendirian tanpa wakil pihak perempuan. Justeru itu, walaupun pada malam terakhir ini pengantin tidak dijemput secara rasmi, namun masa untuk bertolak ke rumah pengantin perempuan adalah ditentukan.

        Kedatangan rombongan pengantin lelaki akan disambut oleh pengantin perempuan. Kedua-duanya, dengan menaiki penangga akan diarak ke rumah pengantin dengan diringi oleh dikir rebana. Atur cara perarakan ini sama seperti perarakan-perarakan sebelumnya.

        Dalam setiap istiadat perarakan di majlis perkahwinan di rumah pengantin perempuan ini terdapat sekurang-kurangnya dua adat yang harus dilakukan. Pertama, pengantin perempuan diharuskan menyambut kedatangan suaminya. Perbuatan ini dianggap sebagai perlakuan terawal yang menunjukkan rasa hormat isteri terhadap suaminya. Kedua, adat mencangkukkan jari. Adat ini melambangkan bahawa kedua-dua pengantin itu telah disatukan dan segala yang akan dilakukan adalah tanggungjawab bersama di antara mereka berdua. -atas-

HOME

 

sistem Adat | Nisab_Ibu| Konsep_Perkahwinan | Peraturan_Perkahwinan | Proses Pinangan | Persediaan Perkahwinan   | Glosari