Make your own free website on Tripod.com

PROSES PINANGAN

 

Sila pilih menu di bawah bagi mendapatkan maklumat selanjutnya.

Adat Pinang-meminang

Cincin Pinangan

Menyimpan Cincin Pertunangan

Pembatalan Pertunangan

 

Adat Pinang-meminang

        Ada dua istilah yang digunakan untuk adat ini, iaitu adat menghantar tanda atau cincin (peminangan) jika dilihat daripada pihak lelaki dan adat menerima tanda atau cincin (peminangan) jika dilihat daripada pihak perempuan.

        Pada masa tradisi istiadat ini, lazimnya dihadiri oleh seluruh ahli perut. Turut hadir bersama ialah Buapak dan Besar. Ahli-ahli seperut akan mula berkampung di rumah yang beralat sejak petang sehari sebelum hari istiadat diadakan. Pada malam itu juga dikenakan persiapan terakhir segala peralatan yang akan digunakan besoknya. Pada pihak lelaki, antara yang diperkemaskan malam itu ialah membersihkan peralatan meminang dan membuat bunga rampai.

        Di antara peralatan yang akan dibawa adalah cincin sebentuk, pakaian seperlulusan (pakaian bagi seorang perempuan selengkapnya), tepak sirih dan adat pusaka yang berupa wang sebanyak RM 48.00. -atas-

 

Cincin Pinangan

        Cincin pinangan atau cincin tanda itu sebentuk sahaja, tetapi ada juga di tempat-tempat tertentu di Negeri Sembilan menggunakan dua bentuk cincin. Cincin itu seperti juga cincin tanya adalah cincin (emas) belah rotan.

        Cincin tanda ini diikat dengan benang semperona (semperwarna) biasanya dibuat daripada tiga warna, iaitu merah, putih dan hitam. Warna ini tidak pula ditetapkan. Setelah diikat cincin itu dimasukkan ke dalam cembul yang dialas dengan kain baldu atau kertas merah dan dihiasi dengan bunga rampai.

        Cembul berisi cincin itu pula diletakkan ke dalam boko (sejenis pinggan atau dulang air bulat dan kecil yang dibuat daripada tembaga). Boko itu ditaburkan bunga rampai. Cembul cincin itu diletakkan di bahagian tengah boko dan bunga rampai.

        Boko itu kemudian dibungkus dengan kain. Banyak lapisan kain pembungkus itu tidak ditentukan. Yang dipastikan ialah jumlah lapisan kain pembalut itu mestilah bilangan ganjil-tiga, lima atau tujuh. Lazimnya lapisan yang paling kurang adalah tiga dan yang paling banyak tujuh. Jenis kain yang digunakan itu juga tidak ditentukan. Yang biasa digunakan dalam istiadat ini ialah kain batik atau kain songket yang baru. -atas-

 

Menyimpan Cincin Pertunangan

        Cincin tunang yang dihantar oleh pihak lelaki mestilah disimpan oleh keluarga (ibu) perempuan yang bertunang. Cincin itu tidak boleh dipakai oleh gadis yang bertunang. Cincin tunang itu kemudiannya harus dililit atau diikat dengan tiga jenis benang, iaitu benang putih, hitam dan merah atau benang sempewarna. Cincin itu tersimpan sehingga hari berkampung di mana akan dibincangkan perkara berkaitan dengan hari langsung atau upacara pernikahan. Apabila cincin pinangan telah diterima, maka rasmilah pertunangan antara si teruna dengan si gadis. Mengikut adat dalam masa pertunangan ini kedua belah pihak harus menuruti dan menghormati peraturan perjanjian atau undang-undang adat. -atas-

 

Pembatalan Pertunangan.

        Jika berlaku perlanggaran kepada salah satu daripada perjanjian yang dinyatakan, maka pertunangan itu akan batal. Pembatalan ini harus dilakukan secara rasmi. Jika lelaki yang ingin membatalkan, maka wakil yang menghantar tanda haruslah menemui kembali wakil pihak perempuan dan menyatakan hasrat dan tujuan. Begitu juga sebaliknya. Semasa menemui pihak yang berkenaan, terutama sekali jika pihak perempuan haruslah membawa denda yang dikenakan mengikut perjanjian yang dibuat. Dengan berbekalkan tepak sirih adat pihak yang hendak membatalkan tali pertunangan itu akan mengunjungi pihak yang lagi satu. Jika perempuan, maka tanda yang dikembalikan itu dibuka dan dilihat dengan teliti untuk memastikan bahawa benda-benda itu adalah yang asal. Di samping itu dipastikan juga yang barang gandaan itu sama nilainya dengan yang dijadikan tanda. Kemudian, barang-barang itu diedarkan kepada anggota keluarga pihak lelaki yang hadir. Sekiranya didapati barang gandaan itu tidak sama nilainya, maka hal itu akan diberitahu kepada wakil yang membawa. Pihak yang membawa akan menjaNjikan bahawa segala kekurangan itu akan diganti dalam tempoh masa yang tertentu. -atas-

 

HOME

 

sistem Adat | Nisab_Ibu| Konsep_Perkahwinan | Peraturan_Perkahwinan  | Proses Pinangan |Persediaan_Perkahwinan | Glosari