Make your own free website on Tripod.com

SISTEM ADAT

 

Sistem Adat Negeri Sembilan

        Sistem nisab ibu yang diamalkan oleh masyarakat Negeri Sembilan adalah dasar kepada keseluruhan tingkah dan tindak laku yang merangkumi sistem-sistem politik, ekonomi, sosial dan budaya masyarakat tersebut. Sistem adat Negeri Sembilan ini dikenali sebagai adat pepatih.

 

Prinsip Adat

        Adat pepatih adalah merdasarkan prinsip: baik dipakai dek muafakat, buruk dibuang dek rundingan. Keseluruhan sistem adat ini boleh dikategorikan kepada empat jenis, iaitu adat nan sebenar adat, adat nan teradat, adat nan diadatkan, dan adat istiadat.

        Di antara ketegori ini hanya adat kategori pertama, iaitu adat nan sebenar adat sahaja yang tidak mungkin berubah. Ini adalah kerana ia berdasarkan kejadian alam semulajadi. Antara adat yang tergolong dalam kategori ini ialah:

            Adat air cair,

            Adat api panas,

            Adat pisau melukai.

Adat daripada kategori inilah yang dikatakan sebagai adat yang

            tak lapuk dek hujan,

            tak lekang dek panas,

            dianjak laju,

            dicabul mati.

        Adat daripada kategori yang lain adalah hasil daripada muafakat dan rundingan serta persetujuan ahli-ahli masyarakat. Kategori adat nan teradat adalah kelaziman, kekerapan dan kebiasaan manusia melakukannya, misalnya hormat anak kepada orang tua, kepatuhan anak buah kepada ketua adat atau pemimpin dan sebagainya. Begitu juga dengan adat nan diadatkan. Adat jenis ini merupakan ketetapan dan peraturan yang dibuat hasil daripada pemuafakatan antara ketua-ketua adat seperti Buapak, Lembaga, Undang atau Penghulu.

        Sedangkan adat istiadat, iaitu kategori adat yang keempat, hanya merupakan hiasan dan tambahan kepada tiga kategori tersebut. Tujuan dasar adat ini adalah untuk mencantikkan adat yang sedia ada. -atas-

HOME

 

 Sistem Adat|Nisab_Ibu |Konsep_Perkahwinan | Peraturan_Perkahwinan | Proses Pinangan | Persediaan_PerkahwinanGlosari