Make your own free website on Tripod.com

Pecahan Adat Temenggung

 

 

     Memilih Menantu
     Adat Meminang
     Serba Satu Putih Berdiri
     Peminangan dan Pertunangan
     Pernikahan
     Kemuncak Upacara
     Hantaran
     Walimah

 

Memilih Menantu dan Upacara Selanjutnya

      Dalam memilih menantu, banyak perkara yang ibu bapa memberi perhatian dan pertimbangan. Gadis yang dipilih hendaklah dari keluarga yang secocok dengan mereka. Perangai serta tingkah laku mesti baik, ikhlas dan sempurna. Begitu juga daripada aspek-aspek pengetahuan agama dan bidang pelajaran, jika gadis itu bersekolah. Apabila berbincang dengan saudara yang memilih gadis itu, banyak perkara lain yang dibangkitkan. Akhirnya, setelah berpuas hati dengan gadis itu barulah mula dijalankan kerja-kerja untuk meminang.

      Kerja-kerja meminang diwakilkan oleh ibu bapa pihak lelaki kepada sudara maranya. Apabila peminangan dipersetujui ada yang menghantar tanda sebagai mengesahkan peminangan. Tanda yang biasa dihantar ialah sebentuk cincin emas bersama dengan hadiah lain seperti kain dan kuih-muih. Dengan adanya 'tanda' itu, si gadis itu dianggap sudah bertunang. Sewaktu menghantar tanda, ditetapkan tarikh menghantar belanja dan akad nikah.

      Ketika menghantar belanja, pihak lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dan kedua-dua pihak akan menyampaikan serta menerima hantaran yang ditetapkan. Dahulu wang hantaran digubah dalam pelbagai bentuk atau dibungkus dengan menggunakan kain baldu atau kain yang bersulam dengan begitu indah sekali. Iringan-iringan lain termasuk sirih junjung, bunga rampai dan hadiah-hadiah seperti pakaian, alat solek, buah-buahan dan pemanis seperti kuih-muih. Cara menjemput perkahwinan pada masa dahulu bukanlah melalui kad jemputan tetapi pihak ibu bapa atau saudara mara pengantin pergi dari rumah ke rumah untuk menjemput ke majlis perkahwinan. Mereka membawa tepak sirih dan terus menjemput serta meminta saudara mara dan sahabat handai datang ke majlis.
-atas-

 

Adat Meminang

Dalam zaman mengejar kemajuan ini, adakalanya adat resam dikebelakangkan. Ini termasuklah dalam soal adat meminang. Adat meminang boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu Merisik dan Meminang.

     Apabila hati seorang teruna telah berkenan pada seorang dara, biasanya dia akan menghantar wakil untuk merisik bagi menentukan sama ada si dara telah berpunya atau belum. Kadang kala semasa merisik, wakil teruna akan menyerahkan sebentuk cincin tanya. Jika pihak dara bersetuju, mereka akan menetapkan tarikh untuk masuk meminang dan seterusnya bertunang.

     Apabila hari yang ditetapkan tiba, wakil teruna akan masuk meminang secara rasmi. Biasanya pihak teruna akan membawa bersama hadiah beberapa dulang hantaran termasuk sebentuk cincin atau sebagainya. Pada ketika ini, kedua-dua wakil akan menetapkan tarikh ijab kabul dan persandingan mengikut kesesuaian kedua belah pihak.


                                                                  Orang Jawa turun ke dusun,

Singgah sejenak dipinggir kota,

Kami membawa sirih tersusun,

Sudilah sepiak membuka kata.

Orang dusun pergi ke huma,

Bawa ke pekan seikat keladi,

Sirih tersusun kami terima,

Sila nyatakan hasrat di hati.

      Adat istiadat merisik dan meminang dalam masyarakat Melayu bukan sahaja dituntut dalam agama bahkan ditagih dalam adat. Ia merupakan permulaan istiadat di mana pihak lelaki menghantar seorang wakil ke rumah pihak perempuan untuk dipinang. Walaupun telah diketahui peminangan tersebut akan diterima, namun syarat menghantar wakil perlu dilakukan sebagai membuka tirai kira bicara.

      Upacara ini dilakukan, untuk melahirkan tujuan mereka sebenarnya secara rasmi. Ia dilakukan pada peringkat permulaan secara tidak langsung tetapi mempunyai maksud untuk bertanyakan sama ada si gadis sudah berpunya atau belum. Amalan ini dilakukan untuk mendapatkan maklumat mengenai diri perempuan yang hendak dipinang. Setelah tiba masa yang sesuai, wakil tadi akan berterus terang tentang hajat mereka sebenarnya.

      Kebiasaannya semasa upacara ini, pihak lelaki turut membawa bersama sebentuk cincin tanda dan tepak sirih disertakan sekali dengan pinang , kapur dan gambir. Tepak sirih ini dipanggil sebagai sirih meminang. Jika peminangan tersebut diterima maka pihak lelaki akan menghulurkan tepak sirih kepada wakil pihak perempuan sebagai tanda penerimaan. Manakala cincin tanda sebagai tanda perjanjian penerimaan peminangan tersebut sebelum berlangsungnya upacara pertunangan.

       Selesai sahaja upacara ini, kedua-dua belah pihak akan membawa tepak sirih ke tengah untuk disantapi sebagai tanda gembira dan kata sepakat.

     Namun kini, hanya adat masuk meminang sahaja yang masih diamalkan. Pada zaman teknologi maklumat ini, biasanya kedua-dua teruna dara telah berkenalan terlebih dahulu. Jadi adat merisik khabar dirasakan tidak perlu lagi. Tambahan pula ini dapat menjimatkan kos dan masa. Namun bagi sesetengah pasangan yang inginkan cara yang lebih tertib dan menyeronokkan, mereka lebih gemar mengikut adat.

    
Sesuatu yang perlu diingat apabila anda ingin mendirikan rumahtangga ialah jangan sesekali membelakangkan ibu bapa. Mintalah pendapat dan nasihat mereka kerana restu orang tua ada hikmatnya.  -atas-

 

Serba Satu Putih Berdiri

      Perkahwinan dalam adat istiadat Melayu suatu upacara panjang lebar yang penuh dengan adat istiadat. Walau sehari tidak ketemu disarakan bagai setahun, namun adat diketepi jangan. Untuk memiliki si jantung hati harus datang beradat. Setiap hasrat disampaikan dalam jalur kesopanan. Bunga yang kembang mekar hendaklah ditilik dirisik terlebih dahulu. Apabila sah belum disunting maka bertandangkan rombongan merisik.

     "Datang kami datang berhajat ingin memetik bunga di taman." Maka disambut si tuan rumah," Kalau kena dengan cara suntingan, kecil tapak tangan nyiru kami ditadahkan." Setelah pinangan diterima menyusul adat hantar tanda. Ibarat pepatah orang tua-tua "kerbau ditambat dengan tali, janji diikat dengan tanda." Justeru wajarlah sebentuk cincin pengikat kata." Lantas dihulurkan sebutir cincin belah rotan atau bertatah intan atau berlian.

     Bagaimanapun sebelum itu dirundingkan segala hal-hal bersangkut-paut dengan hantaran; berapa mas kahwin yanng dikehendaki? Berapa belanja hangus. Apakah barang-barang yang dikehendaki waris si dara? Adakah hantaran ini mahu dibawa pada hari pertunangan atau langsung atau sebahagian pada hari bertunang dan bakinya pada hari pernikahan? Semuanya harus diputuskan sebelum menjelang hari pertunangan.

      Membuka tabir budi bicara, berkatalah wakil pihak perempuan. "Hidup dikandung adat maka seperti yang kebiasaan begitulah kehendak kami. Tetapi besarlah hati kami jika selain dari sepersalinan dapat kiranya serba satu putih berdiri." Indah, halus dan penuh beralas. Hidup menjunjung adat bangsa Melayu kaya dengan kiasan. Permintaan diungkapkan dalam kata-kata indah dan manis, tidak kurang yang berpantun.

      Perkataan serba satu yang dipakai meluas di Johor kini semakin banyak digunakan. Bermaksud kelengkapan perhiasan kemas, lazim merangkumi subang, rantai, gelang dan cincin. Sekiranya pihak perempuan mahukan yang khusus maka sebutlah serba satu putih berdiri bererti semuanya bertatah berlian. Jika nilam kehendak hati disebutlah serba satu biru berdiri. Merah bermaksud delima dan hijau bermaksud zamrud.

      Bagaimanapun dahulu serba satu putih mempersembahkan berlian mentah atau lebih tepat dipanggil intan. Apabila memasuki tahun 80-an intan perlahan-lahan terpinggir. Kilauan berlian terus unggul menjejaki tahun 90an. Hari ini jarang yang menghantar cicin belah rotan. Waima cincin tanya, tanda, tunang atau kahwin semua bertatah berlian. Terutama untuk serba satu.

      Menghantar tanda dimaksudkan menyarung cincin tanda ke jari manis kanan si dara dan yang dikatakan meminang menghantar sirih pinang atau juga disebut sirih dara selengkap syarat menurut adat. Selalu upacara menghantar dan atau meminang diraikan dengan kenduri kecil. Jemputan hanya kalangan jiran dan saudara-mara terdekat. Pada waktu dahulu, hantar tanda dan pertunangan dua adat berlainan waktu.

     Bagaimanpun kini ramai menyatukan adat ini. Mereka membawa seiring cincin tanda dan tepak sirih. Pada hari langsung, barulah dipersembahkan hantaran yang dipinta. Tetapi lain
padang lain belalang, lain libuk lain ikannya, lain tempat lain adat resamnya. Ada juga sesetengah negeri sewaktu hari bertunang segala hantaran yang dijanjikan dibawakan bersama.

     Apapun kelainan, yang pasti masing-masing mepunyai persamaan dalam pilihan serba satu. Purata ramai mempersembahkan berlian.
-atas-

 

Peminangan dan Pertunangan

Peminangan dari sudut Islam dilakukan dengan tujuan untuk;

  1. Mengenali sifat lelaki yang baik seperti yang dinyatakan di dalam Riwayat At-Tarmizi dan An-Nassaei;
    "Sesempurna orang lelaki yang beriman, keimanannya ialah mereka yang berbudi baik dan berhemah lembut terhadap keluargaanya."

  2. Untuk mengenali wanita yang salih seperti yang dinyatakan di dalam firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nisa' ayat 34; "Maka wanita yang salihin itu ialah yang taat serta tetap memelihara diri di kala ketiadaan suami dengan cara yang diajarkan oleh Allah."

  3. Mencari isteri yang manis rupanya seperti dinyatakan Hadis Nabi di dalam Riwayat Ibnu Hibban menyatakan; Sebaik-baik wanita ialah yang cantik, manis rupanya dan murah pula mas kahwinnya.

  4. Untuk tidak melambat-lambatkan pernikahan sekiranya kedua pasangan sudah suka antara satu sama lain. Dinyatakan dalam Riwayat Al-Baihaqie; "Tiga perkara yang tidak dapat ditangguh-tangguhkan lagi ialah solat bila tiba waktunya, jenazah yang sudah tiba dan wanita bila diperolehi sekufu (sesuai) dinikahi.


Namun apa yang sering berlaku kala peminangan;

  1. Apabila lelaki datang meminang, maka yang ditanya ibu bapa perempuan ialah kerja, pendapatan, pangkat, kereta serta harta bendanya sehingga memperlihatkan bukan ciri-ciri lelaki terbaik yang dipilih sebaliknya kebendaan.

  2. Bila diterima, akan ditetapkan belanja hantaran yang memberatkan dan menjadi kemegahan sekiranya hantaran mahal bersama serba satu pakaian dan perhiasan.

  3. Dibincangkan tempoh untuk melangsungkan pernikahan. Jarang menyegerakan pernikahan sebaliknya ditangguhkan sehingga dua atau tiga tahun. Kesannya memberi peluang pasangan bergaul bebas, meminta dibelikan pakaian, perbelanjaan dan sebagainya kerana pada anggapan mereka bertunang seolah-olah sudah menjadi hak tidak rasmi.-atas-

 

Pernikahan

      
Sebaik-baiknya biarlah majlis akad nikah dilakukan di dalam masjid atau surau kerana tempat ini luas, terpelihara daripada perhiasan-perhiasan gambar atau patung yang membawa kepada unsur-unsur syirik. Selain daripada itu memudahkan lelaki untuk melakukan solat sunat nikah dan sujud syukur setelah diakad nikah dan mengelakkan percampuran antara lelaki dan perempuan.

     
Berbanding sekiranya majlis ini dijalankan di rumah, percampuran lelaki dan perempuan sukar dikawal. Lebih-lebih lagi jika rumah pengantin perempuan kecil dan sempit. Maka pada hari itu tetamu perempuan dan pengiring pengantin lelaki akan duduk di tempat majlis akad nikah itu dijalankan. Selain mengganggu pengantin lelaki, sepatutnya wanita mesti berada di dalam bilik atau di tempat yang diletakkan tirai atau sekatan supaya terlindung daripada kaum lelaki.

     
Amat mustahak calon isteri menyaksikan upacara pernikahan iaitu bersama-sama mendengar doa, takliq dan nasihat-nasihat kadi yang menikahkan. Manakala selepas upacara pernikahan seeloknya diiringi dengan majlis-majlis keagamaan seperti majlis khatam Al-Quran dan majlis berzanji bukan muzik, hiburan pancaragam atau tari-menari.       -atas-

 

Kemuncak Upacara

      Upacara akad nikah diadakan di rumah pengantin perempuan atau pun di masjid. Pada majlis itu barang-barang hantaran diletakkan di depan pengantin lelaki. Semasa upacara akad nikah, hantaran diserahkan kepada wakil pengantin perempuan. Pengantin lelaki sewaktu akad nikah duduk di atas tikar bersila berhadapan dengan imam. Imam mambacakan khutbah nikah, meminta pengantin lelaki membaca lafaz nikah dan mendaftarkan perkahwinan itu. Seterusnya pengantin lelaki dibawa berjumpa pengantin perempuan di dalam bilik pengantin untuk menyerahkan wang mas kahwin kepadanya. Untuk melakukan upacara membatalkan air sembahyang, pengantin lelaki bersalam dengan pengantin perempuan atau menyentuh dahinya.

     Upacara berinai diadakan di rumah pengantin perempuan pada waktu malam didahului pengantin lelaki duduk di atas pelamin. Ahli keluarga bergilir-gilir menjalankan upacara berinai. Selepas itu pengantin perempuan naik ke pelamin setelah pengantin lelaki keluar dari pelamin itu dan upacara berinai dijalankan.

     Kemuncak bagi majlis perkahwinan ialah majlis bersanding yang diadakan di rumah pengantin perempuan pada mulanya.

     Pelamin diserikan dengan bunga-bunga hidup, kain-kain yang cantik dan lampu-lampu yang berwarna-warni. Pengantin perempuan duduk di sebelah kiri pengantin lelaki. Mereka memakai pakaian yang cantik tetapi tidak sama jenisnya. Mereka bersanding selama 15 atau 20 minit dengan direnjis tepung tawar oleh sanak saudara. Selepas doa selamat dibacakan barulah selesai majlis bersanding dan mereka masuk ke bilik pengantin. Disitulah mereka diberi makanan dan makan bersama ahli-ahli keluarga. Keesokan hari diadakan majlis bersanding di rumah pengantin lelaki. Itulah cara tradisional majlis perkahwinan bangsa kita.
-atas-

 

Hantaran

      
Hantaran tidak wujud di dalam Islam. Lebih-lebih lagi barang yang digubah menjadi itik, angsa, burung dan pelbagai bentuk binatang. Ini unsur-unsur syirik yang tidak sepatutnya diamalkan oleh umat Islam. Sekiranya ingin memberi barang dengan niat ikhlas kepada bakal isteri, seeloknya diserahkan lebih awal iaitu sebelum dijalankan akad nikah. Tidak dengan beradat dulang apatah lagi dulang emas atau perak yang dilarang Islam kerana bejana (barangan atau perhiasan rumah) emas dan perak, haram umat Islam menggunakannya.

      Tambahan pula budaya hantaran hanya akan mendatangkan kesan yang buruk jika berlaku perselisihan faham. Sekiranya hantaran diberi sebelum bernikah andai pihak gadis memutuskan perhubungan adat menetapkan pihak lelaki boleh menuntut ganti rugi dua kali ganda hantaran yang diberikan kepada bakal isteri. Ini hanya akan membebankan keluarga gadis itu.-atas-

 

Walimah

       
Pengertian walimah ialah membuat jamuan kenduri selepas akad nikah. Hukum perayaan walimatul-urus (kenduri perkahwinan), sebahagian ulama menyatakan wajib dan ada juga yang menyatakan sunat.

"Adakanlah perayaan walimah-tulurus sekalipun hanya memotong seekor kambing."

- Hadis Nabi dalam Riwayat Bukhari dan Muslim.


 Dimaksudkan juga hendaklah mengadakan walimah mengikut kemampuan suami dan seeloknya;

  1. Tidak membazir.
  2. Tidak ada perkara kemungkaran seperti nyanyian muda-mudi dan permainan alat-alat muzik yang ditegah syarak.
  3. Diasingkan tempat jemputan lelaki dan perempuan.
  4. Tidak diadakan majlis persandingan kerana itu bukan syariah Islamiah.

  5. Pelayan tetamu hendaklah lelaki untuk tetamu lelaki manakala perempuan untuk tetamu perempuan.

  6. Tidak daripada wang, makanan dan minuman yang haram.

  7. Selain jiran tetangga, saudara-mara dan sahabat handai, jemputlah fakir miskin dan alim ulama.

       Namun yang sering menjadi amalan dan bercanggah dengan syariat Islamiah; biarpun kenduri diadakan di dewan serbaguna yang luas dan lengkap kemudahan kerusi meja namun tidak dititikberatkan kawalan akhlak. Jemputan lelaki dan perempuan bercampur gaul, duduk sebelah-menyebelah, berhadapan bertentangan muka tanpa pengasingan lelaki dan perempuan. Bukan itu sahaja malah kedua pengantin ditempatkan bersama-sama para jemputan kenamaan dan bercampur lelaki perempuan tanpa segan silu.

       Di samping itu diperdengarkan pula alat-alat bunyian yang mengkhayalkan atau lagu yang didendangkan dengan tujuan agar jemputan terhibur. Dan kemuncak walimah apabila jamuan selesai, kedua pengantin berdiri di pintu keluar. Menunggu jemputan balik sambil berjabat tangan tanpa menghiraukan bersalam tanpa lapik dengan
mereka yang bukan muhrim yang hukumnya haram.-atas-

 

HOME